Penduduk 15 kampung di Hulu Besut terputus hubungan dengan
bandar Jertih apabila Jambatan Jerubun, Pasir Akar, dinaiki air, hari ini.
Laluan terbabit ditenggelami air lebih 0.35 meter dan tidak
boleh dilalui kenderaan ringan sejak 4 petang tadi.
Tinjauan di jambatan berkenaan mendapati, puluhan kenderaan menuju ke Hulu
Besut terkandas.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa
menggunakan lori bagi membantu mengangkut orang ramai yang ingin meneruskan
perjalanan ke Hulu Besut.
Pegawai APM Besut, Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang berkata,
setakat ini keadaan banjir seluruh Besut masih terkawal.
“Masih belum ada penduduk yang dipindahkan akibat banjir kecuali
jalan utama Jertih-Hulu Besut ditenggelami air.
“Bilik gerakan banjir daerah juga masih belum beroperasi tetapi
kita nasihatkan penduduk Kampung La yang kerap dilanda banjir supaya bersiap sedia
untuk pindah jika hujan lebat berterusan hingga malam ini,” katanya.
Sumber: Terengganu Times