Dalam kehidupan hari ini yang serba
mencabar, tidak mustahil kita akan mengalami tekanan bila berhadapan kerenah
manusia sama ada di rumah, di tempat kerja dan anak-anak. Bersama ini,
dikongsikan di sini petua untuk mengelak tekanan dan menjalani kehidupan dengan
lebih tenang.
Menurut Ustaz Zahazan, ada empat perkara
membuat hidup menjadi sukar dan tertekan dan empat perkara itu adalah:
Pertama:
Bersungut dan tidak menerima qada dan qadar Allah.
Amalkan membaca doa seperti diajar
Rasulullah SAW iaitu: “Bismillahi ‘ala nafsi wamali wadini. Allahumma raddhini
biqodho ika wabarikli fima quddiroli hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wala
takkhira ma ‘ajjalta.” (Maksudnya: Dengan nama Allah atas diriku, hartaku, dan
agamaku. Ya Allah, jadikanlah aku ini rela dengan apa-apa yang Engkau tentukan
dan berikanlah berkat untukku dalam segala yang sudah ditakdirkan kepadaku
sehingga aku tidak menginginkan cepatnya sesuatu yang Tuhan perlambatkan atau
perlambatkan sesuatu yang Tuhan percepatkan).
Kedua:
Berbuat dosa dan tidak disertai dengan taubat.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali
Imran ayat 135 yang bermaksud: Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan
keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu
memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan
dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang
mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Ketiga:
Bersikap iri hati, dendam dan dengki
mempunyai sikap iri hati sesama manusia
serta muncul perasaan senang untuk membalas dendam kepada mereka dan dengki
atas anugerah yang Allah berikan kepada mereka.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’
ayat 54 yang bermaksud: Ataukah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia
yang sudah Allah berikan kepadanya.
Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada
Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Jauhilah olehmu sekalian
sifat dengki itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat menghabiskan amal
kebaikan sebagai mana api itu dapat menghabiskan kayu api.
Keempat:
Berpaling daripada mengingati Allah.
Allah SWT berfirman dalam surah Taha
ayat 124 yang bermaksud: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan
petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami
akan himpunkan Dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.
Demikian empat perkara disebut ‘Aidh bin
Abdullah al-Qarni dalam kitab beliau La Tahzan. Elakkan daripada melakukan
keempat-empat perkara itu, Insya-Allah hidup akan tenang. Wallahua’lam.
Nasihat Ustaz
geng wokyoh