RAWANG:
Tiga pekerja sebuah kilang simen, dikhuatiri maut selepas terjatuh dalam sebuah
tangki diesel ketika tangki berkenaan meletup dan terbakar, di sini, petang
tadi.
Penolong Pengarah
Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul,
berkata semua mangsa adalah warga tempatan berusia 28 tahun, 35 tahun dan 49
tahun.
"Tiga jentera dari
Balai Bomba Rawang, Selayang dan Batu Arang terbabit dalam operasi memadam
kebakaran, yang membabitkan 30 anggota.
"Difahamkan
ketiga-tiga pekerja terbabit sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas
tangki sebelum berlaku letupan yang menyebabkan mereka terjatuh ke dalamnya.
"Kebakaran berjaya
dipadamkan selepas 30 minit dan sehingga kini, kita dalam usaha untuk
mengeluarkan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Sani berkata,
kerja mengeluarkan mangsa memerlukan masa yang agak panjang berikutan pihak
kilang terpaksa memindahkan minyak diesel daripada tangki terbabit.
"Buat masa ini,
kita perlu mengeringkan tangki terbabit terlebih dulu, yang mengandungi
kira-kira 750,000 liter diesel.
"Apabila tangki
kering, barulah kita boleh keluarkan mangsa," katanya.
Sumber:
Berita Harian