Sunday, 22 October 2017

Tidak Masuk Syurga Kerana Hutang

“Barangsiapa yang datang pada hari kiamat dalam keadaan bebas dari tiga perkara iaitu takbur, khianat dan hutang maka mereka akan masuk syurga.” (HR Nasai dan Ibnu Hiban).

Hadis Rasulullah SAW ini jelas menyebut bahawa seseorang akan terhalang dari memasuki syurga jika masih meninggalkan hutang yang belum dijelaskan. Hakikatnya, apa yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini terdapat satu amalan yang buruk iaitu melengah-lengahkan hutang. Padahal sebenarnya mereka mempunyai kemampuan untuk menjelaskan hutangnya. Namun dek kerana telah menjadi perangai dan tabiat buruk yang sudah mendarah daging, kebiasaan itu seolah-olah menjadi amalan biasa.

Soalannya ialah mengapa di dalam kalangan Melayu-Islam hutang ini terus menjadi barah dan seolah-olah tiada penyelesaiannya? Mengapa tiada kesedaran untuk mengurangkan kadar hutang ke peringkat minimum atau melangsaikannya sekali gus? Mengapa hutang ini tidak di anggap sebagai perkara yang serius dan perlu diambil berat, padahal dengan hutang jualah seseorang boleh terhalang masuk syurga?

Malangnya, berhutang telah menjadi asas kehidupan masyarakat dewasa ini khasnya di dalam kalangan orang bandar meskipun sebenarnya mereka mampu untuk tidak berhutang. Contohnya, kita mudah membeli barangan kecil seperti tilam, karpet atau baju dengan berhutang. Namun kerana penjual menawarkan bayaran dengan ansuran, kita mengambil cara seperti itu meskipun harga barangan itu tidak mahal dan tidak menjejaskan pendapatan bulanan kita. Disebabkan mengambil secara ansuran, memancing kita untuk membeli barangan lain. Akibatnya, banyak ansuran yang tertunggak kerana terlebih hutang dan tidak dapat mengawal nafsu berbelanja.

Hal ini berlaku kerana masyarakat sudah tertanam satu sikap untuk memandang mudah masalah hutang. Hutang di anggap masalah kecil. Padahal hakikatnya ia amat berkait rapat dengan adab menjaga hubungan dengan orang lain yang perlu dijaga dengan baik.

Hubungan yang baik merupakan perkara yang wajib dijaga dalam Islam. Selagi hutang itu tidak dijelaskan, selagi itulah perkara itu menjadi bebanan sehingga ke hari akhirat kelak. Dalam bahasa al-Quran, tuntutan menjaga hubungan baik ini diistilahkan sebagai hablun minannas (mengikat tali perjanjian dengan manusia). Perkataan ini setingkat dengan perkataan hablun minallah (menjaga tali atau agama Allah). Ini termasuklah bagaimana kita menjaga hubungan baik dengan sahabat atau saudara mara dengan melangsaikan hutang-hutang tertunggak apabila ada keupayaan untuk menjelaskan hutang tersebut.

Tidak dinafikan berhutang adalah sesuatu yang dibolehkan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama Islam juga tidak menggalakkan umatnya menjadikan amalan berhutang sebagai suatu cara untuk bermewah-mewah dan bermegah tanpa alasan yang munasabah dan keperluan yang mendesak.

Natijahnya, disebabkan hutang, akan sia-sia segala kebaikan yang kita kerjakan di dunia ini. Segala ibadah seperti solat, puasa dan berhaji tidak bermakna selagi kita tidak dapat menjelaskan hutang di dunia. Begitu berat masalah hutang ini sehingga diriwayatkan bahawa dosa orang mati syahid diampuni kecuali hutang. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud: “Setiap dosa yang mati diampuni kecuali hutang.” (HR Muslim).


Load disqus comments

0 comments