Negeri Terengganu Darul
Iman ialah salah sebuah negeri dalam Malaysia.
Terengganu terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di
antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga
5.50 (lihat peta).
Di bahagian utara dan barat lautnya, Terengganu bersempadan dengan Kelantan manakala
di bahagian selatan dan barat dayanya pula, Terengganu bersempadan dengan Pahang.
Keluasan negeri Terengganu ialah 12,955 km2.
14 Tempat Menarik Di
Terengganu
1. Pulau Redang
Merupakan destinasi percutian di pulau yang terkenal
di Terengganu bahkan di Malaysia kerana mempunyai pantai dan air laut yang
membiru jernih. Pengunjung yang hadir ke sini boleh melakukan aktiviti snorkeling, scuba diving sambil melihat
keindahan terumbu karang dan hidupan laut. Di Pulau Redang juga terdapat resort
dan hotel yang cantik dan sesuai sebagai destinasi berbulan madu. Perjalanan
menaiki bot dari jeti Shahbandar ke Pulau Redang mengambil masa 1 jam 30 minit,
manakala dari Jeti Merang pula mengambil masa 45 minit.
2. Pulau Perhentian
Satu lagi destinasi pulau yang
popular di Terengganu selepas Pulau Redang. Pulau Perhentian terdiri daripada
Pulau Perhentian Besar Dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian sangat
sesuai bagi mereka yang sukakan aktiviti menyelam untuk melihat kehidupan marin
dan terumbu karang. Pulau Perhentian sangat dicadangkan untuk anda bercuti.
Kemudahan penginapan seperti resort dan chalet juga banyak disini. Pulau Perhentian
pernah disenaraikan sebagai salah satu destinasi pantai yang tercantik di Dunia
oleh CNN.
3. Tasik Kenyir
Tasik Kenyir yang merupakan tasik
buatan manusia ini menawarkan beberapa produk pelancongan yang menarik untuk
pengunjung. Hasil terbinanya Tasik Kenyir ini disebabkan pembinaan Empangan
Kenyir yang secara tidak langsung mewujudkan tasik serta taburan ratusan
pulau-pulau kecil. Antara aktiviti menarik di sekitar Tasik Kenyir yang boleh
pengunjung lakukan adalah memerhati burung liar, melawat santuari gajah, junggle trekking, menerokai gua-gua,
memancing, melawat santuari ikan kelah dan bersuka ria di Kenyir Water Park.
Tasik
Kenyir turut menyediakan penginapan kepada pengunjung dengan harga berpatutan
mengikut kemampuan kewangan masing-masing. Dari jenis banglo, chalet, bilik dan
dom, setiap penginapan menjanjikan kepuasan kepada pengunjung dan berbaloi
dengan harga dibayar.
Di
Tasik Kenyir juga terdapat Houseboat
atau Rumah Bot. Ia adalah sebuah bot bersaiz besar yang dilengkapi pelbagai
kemudahan yang lengkap termasuk katil, dapur, bilik air, peti sejuk, ruang
menonton televisyen, ruang tamu dan ruang makan yang pastinya membuatkan anda
merasa selesa seperti berada di rumah sendiri.
Tasik Kenyir kini memiliki tarikan baharu apabila
diisytiharkan sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan yang
dikecualikan cukai. Pembukaan fasa pertama hari ini membabitkan pusat jualan
yang terdiri daripada lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak
wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak.
4. Pantai Batu Buruk
Terengganu memang sudah dikenali
sebagai sebagai bandaraya warisan pesisir pantai dan kalau datang ke bandar
Kuala Terengganu, tak sah kalau tak singgah melepak di Pantai Batu Buruk.
Pantai inilah yang paling popular di Bandar Kuala Terengganu.
Dengan deretan pohon-pohon rhu dan
tiupan segar angin Laut China Selatan menjadikan pantai ini sebagai lokasi
pilihan untuk beristirehat ataupun berkelah.
Pada Setiap hujung minggu pantai
ini akan mula dipenuhi oleh orang ramai. Gerai-gerai makan berdekatan tersedia
untuk anda menjamu selera.
5. Pantai Penarik
Pantai Penarik antara pantai yang
sudah tidak asing lagi di Terengganu untuk berkelah dan bersantai-santai. Bagi
mereka yang menggunakan jalan pantai untuk ke Kota Bharu atau dari Kota Bharu
ke Kuala Terengganu, pantai ini merupakan salah satu tanda permulaan jalan
pantai dalam daerah Setiu. Deretan bot-bot nelayan banyak menghiasai pantai
ini, menangkap ikan merupakan antara tulang belakang punca ekonomi penduduk
kampung disini.
Dengan Rimbunan pohon rhu yang
memenuhi pantai selain deretan kedai-kedai makan yang memenuhi ruang antara
jalan raya dan Laut China Selatan. Suasana pantai dengan kebiruan air laut dan
angin bayu laut memanggil-manggil untuk berhenti rehat seketika selepas penat
memandu.
Kedai-kedai makan yang menjadikan
menu celup tepung sebagai hidangan utama. Udang, sotong, ikan, keropok lekor
atau ketam antara hasil laut yang dijadikan celup tepung. Meratah hasil laut
yang dicelup tepung bergoreng dengan kriuk-kriuk tepung cukup mempesonakan
apalagi ditemani udara sejuk dari laut.
6. Bukit Keluang, Besut
Bukit Keluang mempunyai daya
tarikan tersendiri yang boleh memukau para pengunjung tempatan dan luar negara
dengan keindahan dan keunikannya. Para pengunjung juga berpeluang untuk
melakukan aktiviti-aktiviti pilihan tersendiri seperti memancing, bermain wau, banana boat, paragliding, hiking, mandi
manda di pesisir pantai dan lain-lain lagi.
Terdapat banyak kemudahan seperti
rumah rehat, restoran, tandas awam, dan wakaf untuk berehat. Kehijauan hutan
yang belum terusik mendamaikan mata yang memandang.
Tidak sah sekirannya berkunjung
kesini tanpa menikmati pemandangan indah dari puncak Bukit Keluang. Ditepi-tepi
bukit disediakan pelantar pejalan kaki untuk ke laluan pantai sebelah sana.
7. Pasar Payang, Kuala
Terengganu
Semua produk negeri Terengganu
boleh didapati di sini baik makanan seperti keropok keping, keropok sira,
keropok lekor, ikan masin, serunding ataupun produk kraftangan seperti batik,
songket, sutera, hasil tenunan, produk tembaga dan sebagainya. Lokasinya juga
strategik dengan beberapa tarikan lain seperti Kampung Cina, Bukit Puteri,
Dataran Shahbandar, Pulau Warisan dan bazar Warisan.
8. Masjid Kristal
Masjid Kristal merupakan sebuah
masjid yang terletak dalam kawasan perlancongan Taman Tamadun Islam di Pulau
Wan Man, Terengganu. Masjid ini dibina daripada kaca dan keluli, masjid pintar
pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Selain menjadi
persinggahan pelancong yang beragama Islam untuk beribadat ianya juga menjadi
daya penarik orang ramai kerana struktur binaannya yang unik.
9. Muzium Negeri
Terengganu
Muzium ini merupakan muzium
terbesar di Asia Tenggara. Terdapat banyak galeri dan bilik pameran yang
menceritakan pelbagai informasi tentang sejarah, kesenian dan budaya orang
Terengganu. Pasti yang paling mencuri tumpuan anda adalah kecantikan senibina
muzium ini sendiri yang sangat unik dan besar. Tengok pada saiz bumbungnya dan
bangunannya anda pasti terasa seperti orang kerdil yang memasuki Istana Lama
Melayu yang dihuni oleh orang gergasi.
10. Memorial Batu Bersurat
Batu
Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah
berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang
mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama
ditemui di Malaysia.
Ia membuktikan Islam telah
sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386.
Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat
(Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala
Berang, Hulu Terengganu pada
tahun 1887
Tempat ini terjaga rapi dan sesuai
sebagai destinasi untuk lawatan sambal belajar dalam menyelami sejarah negeri
Terengganu dan penyebaran agama Islam khususnya.
11. Perkampungan Cina
Merupakan satu kawasan yang pada
asalnya adalah penempatan orang Cina yang berhijrah ke sini. Tarikan di sini
lebih kepada senibina bangunan sekeliling yang masih mengekalkan siri-siri
tradisional dan anda boleh melihat budaya-budaya orang Cina Terengganu di sini.
Kebiasaannya pelancong suka berjalan di sekitar sambal bergambar sebagai
kenangan.
Antara yang menarik di sini ialah lorong-lorong
bangunannya yang antik dan dihiasi dengan gambar-gambar ukiran menarik
termasuklah lukisan dinding 3D dan hiasan unik yang berbeza-beza pada setiap
lorong.
Terdapat 7 lorong bertema unik di sini.
Lorong-lorong tersebut adalah Lorong
Penyu, Lorong Hijau, Lorong Kebudayaan Tauke Wee Seng Hee, Lorong Tujuh
Keajaiban, Lorong Eko, Lorong Memori Payang dan Lorong Haji Awang Besar.
12. Air Terjun Chemerong
Air Terjun Chemerong
merupakan tempat mandi mandi yang sangat popular di Terengganu terletak di dalam
Hutan Lipur Chemerong yang juga merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan
Pasir Raja. Lokasinya yang agak pedalaman dari jalan utama pasti menjanjikan
keaslian alam flora yang masih yang masih kekal terjaga. Air Terjun Chemerong
merupakan antara air terjun yang tertinggi di Malaysia dan di sini jugalah
tempat pendaki memulakan pendakian ke Gunung Berembun sambal mandi manda di
Sungai Bangang yang sangat jernih membiru seperti di laut.
13. Air Terjun Sekayu
Sebuah lagi tempat mandi manda air
terjun yang popular di Terengganu yang terletak di Kuala Berang. Air terjun
bertingkat yang jernih di kelilingi Hutan Lipur Sekayu ini memang sesuai untuk
pelancong berkelah, buat kem motivasi, berkhemah atau juga menginap di chalet
di tepi air terjunnya yang pasti memberi satu pengalaman yang berbeza. Terdapat
juga taman tema air mini yang mempunyai water slide yang sesuai untuk
kanak-kanak bersuka ria.
14. Pusat Konservasi dan
Penerangan Penyu, Rantau Abang
Bagi yang ingin mendekati haiwan
laut yang comel ini anda boleh berkunjung ke pusat konservasi yang terletak di
Rantau Abang, Dungun. Disini menempatkan pameran yang mempamerkan informasi
berguna tentang spesis-spesis penyu yang ada di Terengganu. Terdapat juga
kolam-kolam kecil yang menempatkan penyu-penyu sebelum dilepaskan di laut.
Musim penyu bertelur dari Mac sehingga September setiap tahun.