Monday, 9 October 2017

PERKARA YANG DIBENCI MALAIKAT

Antara Perkara-Perkara Yang Dibenci Malaikat  

1.   Patung Dan Gambar
Rasulullah SAW bersabda “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung dan gambar”[Hadits sahih Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah]
Patung dan gambar yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah apa yang menyerupai makhluk-makhluk bernyawa, baik yang masih hidup atau sudah mati baik dalam bentuk sepenuhnya atau sebahagian sahaja.

2.   Mulut Busuk
Malaikat terganggu dengan mulut yang berbau busuk. Rasulullah SAW mengingatkan: Sesiapa yang makan bawang merah, bawang putih atau bawang bakung(bebawang yang bunganya warna putih, crnum defixum) maka jangan sesekali mendekati masjid kami kerana sesungguhnya para malaikat terganggu (dengan baunya) sebagaimana juga manusia terganggu dengan baunya. [Al-Bukhari, kitab Adzan 854, Muslim, kitab Al-Masajid 564]

Oleh itu, sesiapa yang makan bawang hendaklah terlebih dahulu membersihkan mulut sebelum memasuki masjid.

Jika dengan bau bawang malaikat sudah terganggu, bayangkan jika mulut seseorang itu busuk dengan bau rokok. Pasti para malaikat tidak akan mendekatinya.

Apabila dikatakan malaikat tidak menyertai, tidak masuk ke rumah atau terganggu, yang dimaksudkan ialah malaikat rahmat yang mendoakan kita dan berselawat kepada kita. Adapun malaikat yang mencatat amal-amal dan malaikat yang diperintahkan oleh Allah seperti malaikat maut, mereka tetap hadir setiap saat.

3.   Isteri Yang Enggan Bersama Suami
Apabila seorang isteri diajak oleh suami untuk bersama lalu ajakan ini ditolak oleh isteri tanpa alasan yang munasabah, maka isteri dilaknat oleh malaikat dari malam itu sehinggalah ke pagi.

Berbeza jika isteri memiliki alasan yang munasabah seperti sedang haid, tidak sihat, maka malaikat akan memaafkannya.

4.   Muslim Saling Bergaduh
Rasulullah SAW mengingatkan : Sesiapa yang mengacukan besi (yakni pedang, tombak atau senjata) kepada saudara semuslimnya, maka para malaikat akan melaknatnya sehingga dia menurunkannya kembali, meskipun dia saudara seayah seibu

Pengecualian diberikan jika mereka mengacukan senjata sebagai latihan meningkatkan ketangkasan dan kehandalan, maka ia dimaafkan oleh para malaikat.

5.   Mencela Para Sahabat Nabi
Para sahabat Rasulullah SAW ialah mereka yang hidup Bersama baginda. Mereka telah mengorbankan keluarga, nyawa, dan harta untuk sama-sama membina serta menyebarkan Islam.

Sayang sekali ada yang berburuk sangka kepada para sahabat ini berdasarkan kisah-kisah sejarah tidak benar yang disebarkan oleh musuh-musuh islam. Lalu tanpa disedari mereka mencela para sahabat, padahal Rasulullah telah memberi amaran : Sesiapa yang mencela para sahabatku, maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia (riwayat al-Thabarani, Silsilah al-Ahadits al-Shahihah)


Load disqus comments

0 comments