Monday, 9 October 2017

Lambaian Mayat Seorang Wanita



Lambaian mayat seorang wanita.

KISAH INI diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media. Namanya Omar. Menurut Omar, ketika itu pukul 12.00 malam, dia menunggang motosikalnya meninggalkan majlis malam media di Klang, Selangor. Omar yang merupakan seorang jurugambar perlu pulang segera ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dinihari itu, sehinggalah dia sampai di bawah jejantas berhampiran SIRIM, Shah Alam. Di situ Omar lihat ada seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan. Pelik, berani betul gadis itu bersendirian di dalam gelap.
Omar memberhentikan motosikal dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang. Dia bimbangkan keselamatannya. Namun sapaan dan pelawaan Omar langsung tidak berjawab. Gadis yang rambutnya melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu tetap diam membatu.

Hanya selepas lebih 10 minit menanti, barulah gadis itu bersuara. Kata si gadis, kalau benar Omar mahu membantu, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Klang.
Omar berikannya topi keledar dan mereka mula bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Mizah itu memberitahu, dia berdiri di tepi jalan kerana ditinggalkan oleh seorang kawan lelaki.

Pada mulanya Mizah menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi. Bagaimanapun, di dalam perjalanan, lelaki berkenaan mula berkelakuan tidak senonoh. Dia memberhentikan kereta di bawah jejantas tadi dan memaksa Mizah untuk menyerahkan kehormatannya.
Mujur saya dapat lepaskan diri. Saya buka pintu, keluar dan menjerit. Dia terus pecut kereta dan tinggalkan saya di sini," kata Mizah sambil merapatkan dirinya ke tubuh Omar.

Akhirnya mereka sampai di rumah Mizah. Di halaman rumah yang masih terang itu kelihatan dua orang anak kecil bermain-main. Kata Mizah, itu anaknya. Dia baru bercerai setahun lepas.
Sebelum berpisah, Omar dan Mizah saling bertukar nombor telefon.

Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian Omar pergi ke rumah Mizah bersama seorang kawan. Niat Omar adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada gadis berkenaan.
Namun, sampai di rumah Mizah, kedua-dua mereka terkejut. Manakan tidak, di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar. Tingkapnya rebeh, cermin pecah, dinding berkulat dan lalang tinggi meliar!

Ketika Omar dan sahabatnya tercangak-cangak, seorang jiran keluar apabila menyedari kedatangan mereka. Omar dan kawannya terkejut apabila jiran tersebut memberitahu, Mizah dan dua orang anaknya sudah meninggal dua tahun lepas!
Tambah jiran itu, sebenarnya selain Omar, sudah hampir 10 orang datang ke rumah terbiar itu mencari Mizah. Semua lelaki berkenaan memberitahu mereka terserempak dengan Mizah di bawah jejantas berhampiran SIRIM, tempat dia ditinggalkan.

Apa yang telah berlaku sebenarnya?
Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Mizah berjaya pulang. Gadis itu bagaimanapun ditemui mati keesokannya bersama mayat kedua-dua orang anaknya, dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya. Kes kematian Mizah ada dilaporkan di media-media tempatan, sekitar 25 tahun yang lalu.